Tuesday, October 21, 2008

For Malay's Reader...Mini Cooper From Alpine




KERETA pada sesetengah orang, fungsinya tidak lebih daripada sekadar sebuah pengangkutan yang membawa manusia dari titik A ke B. Sejak hari pertama kereta dijadikan asas pengangkutan umat manusia, jentera empat roda ini telah berinovasi dengan begitu cepat.

Sejak 100 tahun dahulu dan untuk 100 tahun kehadapan, jurutera memandang jauh dengan membawa limpahan teknologi menjadikan kereta semakin selamat dipandu.

Namun, selain teknologi keselamatan dan automasi yang diperbaharui, bahagian kosmetik tidak pernah dilupakan. Sesetengahnya berfungsi sebagai aerodinamik, sementara selebihnya sebagai nilai estetik.



Kereta seperti Mercedes R Class dan Diablo memiliki rupa bentuk sedemikian rupa kerana keupayaannya membelah angin, sementara kereta seperti Mitsuoka dan RR Phantom, dibina kerana seninya.


Dalam erti kata lain, membina sebuah kereta adalah bergantung kepada falsafah. Apabila berbicara tentang kereta yang memiliki falsafah dan prinsip, Mini dan Beetle adalah dua contoh yang berjaya.

Semenjak BMW mengambil alih mini pada awal tahun 2000, kereta ini telah kembali ke persada permotoran dengan imej moden-klasik yang menjadikan ikon permotoran ini semakin bernilai tinggi.

Di mana sahaja di pelosok dunia, Mini sekali lagi menguasai jalan raya. Kalau dahulu, sebagai pengangkutan pilihan kereta murah yang mampu milik, kini menjadi sebahagian dari senarai kereta kompak yang mahal. Ia kemudiannya termasuk dalam budaya modifikasi yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Seperti dilihat pada foto, ini bukanlah kereta sebarangan. Mini yang dibina semula oleh pihak pengeluar audio terkenal, Alpine ini berubah bentuk menjadi kenderaan futuristik yang memukau.


Seluruh bumbung kereta MINI Cooper ini sudah ditanggalkan, tempat duduk pemandu dipindahkan ke tengah dan diletakkan di atas lantai bermotor yang dapat menggerakkan bahagian boot kereta hingga keluar untuk menyambut atau menurunkan pemandu.

Unik bukan? Tetapi itulah yang dilakukan oleh pihak Alpine untuk menjadikan kereta demo mereka benar-benar menarik perhatian pengunjung di mana sahaja di dunia ini. Tahun demi tahun, Alpine tidak pernah leka dalam mempersembahkan hasil kerja mereka.

Kereta Mini yang dipadankan dengan kerja custom penuh ini memang telah dibina khusus dengan sistem audio mantap untuk dihidangkan kepada pendengarnya.

Spesies terhad ini lebih istimewa kerana ia telah ditukarkan daripada hatchback kepada convertible, dibalut dengan cermin tanpa bingkai di kelilingnya, satu tempat duduk, bentangan meter custom malah setiap peralatan elektronik dan pembesar suaranya dipadankan dengan cukup teliti.


PENCINTA automotif pasti terpesona dengan kehebatan jentera ini.

Tanpa pintu untuk mobiliti, untuk masuk ke dalam kereta ini, butang khas ditekan dan tempat duduk akan mengundur keluar secara automatik.

Kemudiannya, pemandu akan masuk menerusi bahagian yang dahulunya tailgate belakang. Tempat duduk ini kemudiannya bergerak sekali lagi dengan unit motornya untuk membawa pemandu ke bahagian hadapan.

Bunyi yang terhasil daripada kereta demo ini merupakan sistem SQ (Sound Quality) pertama yang dibina Apline di mana kebanyakan projek demo mereka adalah sistem SPL (Sound Pressure Level).

Jadi untuk duduk rapat dengan kereta mendengar dendangan rentak bass perlahan memang sesuatu yang mengasyikkan. Ia menampilkan komponen terbaru dari siri Type X dengan komposisi dari V12.

TEMPAT duduk akan bergerak ke belakang apabila anda menekan butang khas untuk memasuki kenderaan ini.

Tidak dinafikan bahawa ini adalah antara kereta demo paling canggih untuk sistem audio antarabangsa. Namun, dek kecanggihan teknologi ICE yang kini lebih menjurus kepada sistem AV, Mini ini tidak terkecuali.

Ini memaksa Alpine memadankan peralatan multimedia dengan bahagian papan pemuka terdiri daripada unit 9835/ DHA-5680 yang digandingkan dengan unit pemproses Alpine PXA-H701. Kombinasi berkuasa ini menawarkan kawalan bunyi yang lebih luas lalu memaksa penalaan yang sangat teliti.



Sebagai tambahan, unit pemproses utama dihasilkan dengan sistem Dolby Digital, Dolby Pro Logic II dan DTS dan lebih penting konfigurasi saluran 5.1. Proses rekaannya juga sangat kompleks dengan corak pemasangan kelas satu yang menampilkan kekemasan, interpretasi dan juga kualiti bunyi.

Penampilan Mini ini juga cukup untuk menggambarkan betapa kereta ini dilahirkan untuk kelihatan sempurna. Kelihatan ialah rim 20 inci OZ Racing yang disalutkan dengan tayar Toyo.

Tahap kerendahannya juga membolehkan roda berputar dengan selamat tanpa meretakkan komponen badan kereta atau merosakkan mana-mana bahagian audio kereta ini.

0 comments:

Location Visitors

Recent Visitor

Followers

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP